Wednesday, April 9, 2014

KEBANGGAAN SKUAD KANTIN

    Ini projek terbesar Skuad Kantin sebelum hari penjurian dan inilah yang paling kami banggakan. Bermula dengan beberapa pokok sumbangan Pn. Norita binti Jamil, kami menambah kepada beberapa lagi pokok seperti pokok lemon, limau purut, limau kasturi, roselle, cili, terung, kedondong, kucai, daun kesum, pokok kari, dan pokok pandan. Kedudukan pasu beberapa diubah supaya mendapat sudut yang tepat untuk juri melihat LAMAN ANGKAT PIBG  tersebut.






SESI PENJURIAN

Seperti yang telah dijanjikan maka pada 7hb. April 2014 datanglah para juri daripada daerah-daerah yang berbeza untuk memantau kantin.
     Sebelum itu pada pukul 6.40 pagi sudah ke sekolah untuk melengkapkan info pada softboard yang baru siap semalam.



      Softboard inilah yang telah disiapkan pada pukul 6.40 pagi pada hari penjurian. Sudut bacaan yang mempunyai bakul buku itu juga telah disiapkan pada petang sebelum hari penjurian.
     Segala-galanya berjalan dengan lancar. Segala soalan telah dijawab sebaik mungkin. Segala dokumentasi telah ditunjukkan dan diterangkan kepada juri-juri dan 20 set soal selidik telah dijawab oleh murid-murid dan guru-guru.
     Bukan kemenangan yang diharapkan cuma rasa bangga kerana dapat menghasilkan inovasi kepada sekolah daripada kantin zero kepada seperti yang ada sekarang. Inovasi SKUAD KANTIN SEKOLAH 
amat dibanggakan.

    Terima kasih Skuad Kantin Sekolah
    Terima kasih kepada rakan-rakan Pn. Nini Malisa binti Jamali (Penolong Setiausaha Kantin) Pn. Haslina Hassan, Pn. Azimah binti Ali, Pn. Junaini binti Ridzuan, Pn. Norita binti Jamil yang terlibat secara langsung dalam persediaan pertandingan ini. Juga kepada Pn. Rubaizah binti Md Rasid, Pn. Hamizas binti Ahmad, Pn. Halimatun Saadiah binti Ismail dan Pn. Siti Rohaya binti Sainu yang banyak memberi sokongan dan dorongan dalam menjalani detik-detik pertandingan yang penuh jerih dan perih ini. 
    Terima kasih juga kepada semua murid yang terlibat secara tidak langsung dalam persediaan pertandingan ini terutama murid-murid daripada Tingkatan 5 Sains dan Tingkatan 5 Akaun.
    Terima kasih kepada semua guru SMK Pantai Sepang Putra yang terlibat secara tidak langsung dalam memberi idea dan pendapat, menyumbang tenaga memotong dan menggunting dan menyumbang dari segi wang ringgit.

TERIMA KASIH SEMUA.

Wednesday, April 2, 2014

NILAI KALORI MAKANAN

Rujuk di siniNILAI KALORI MAKANAN

SKUAD KANTIN SEKOLAH

Inilah Skuad Kantin Sekolah yang banyak memberikan pertolongan tidak mengira masa dan tenaga.


Terima kasih kepada Nurazrin binti Abdul Khohar, Nurul Fatin Farhana binti
Muhamad Zakir, Zuhasmiza binti Zulkiflee, Nursuhailah Atikah binti Nor Azizy, Nurul Diyana binti Sofian, Siti Aisyah binti Abu Sidek, Nureisha Hidayah binti Abdul Rahman, Fatin Aliah binti Badrul Hisham, Muhamad Ridzaudin bin Osman, Amirul Firdaus bin Mohd Hasnol, Syafiq Danial bin Azlan, Aqmal Hakim, Mohd Adli, Mohd Shahrizan dan Mohd. Azroy atas sumbangan dan khidmat bakti kalian kepada Skuad Kantin. Jasa kalian akan tetap dikenang.

Tuesday, April 1, 2014

PERSEDIAAN PERTANDINGAN KANTIN BERSIH

























KLINIK KESIHATAN DAERAH SEPANG

KLINIK KESIHATAN DAERAH SEPANG

JABATAN KESIHATAN NEGERI SELANGOR

JABATAN KESIHATAN NEGERI SELANGOR

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

PIRAMID MAKANAN

Piramid Makanan Malaysia

Pengenalan
  • Piramid Makanan Malaysia merupakan satu panduan mudah bagi individu mempelbagaikan makanan harian mengikut jumlah sajian yang disarankan.
  • Makanan seimbang mengandungi kombinasi pelbagai jenis makanan untuk memberi kita semua zat makanan yang diperlukan oleh tubuh. Tiada satu pun makanan tunggal yang dapat membekalkan kesemua zat yang diperlukan. Tubuh memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang berbeza untuk memelihara kesihatan.
  • Piramid Makanan Malaysia mempunyai gabungan lima (5) kumpulan makanan yang diletakkan pada empat (4) aras. Selain daripada jenis kumpulan makanan, piramid makanan juga menyatakan jumlah sajian yang disarankan untuk diambil dalam sehari bagi setiap kumpulan makanan.
  • Bentuk piramid yang lebih besar di bahagian bawah dan semakin mengecil ke atas menggambarkan kepada individu perlu mengambil makanan yang lebih banyak pada bahagian bawah (dasar) piramid dan makan sedikit makanan-makanan pada aras paling atas (puncak) piramid.

MAKANAN DAN MINUMAN

Kriteria Pemilihan Bahan-bahan Makanan

Makanan yang disediakan di kantin sekolah hendaklah makanan yang seimbang, mengenyangkan dan bebas daripada bahan tambahan.
     Antara makanan yang sesuai ialah makanan yang dimasak seperti nasi, mi, capati, bubur, telur rebus, yong tau fu dan burger. Selain itu kuih muih seperti karipap, sandwich, lepat pisang, kuih badak, kuih kasturi, kuih pau, popia, seri muka, vadai dan kuih lapis juga sesuai. Di samping itu kekacang seperti kacang goreng, kacang kuda dan kacang rebus sesuai disediakan di kantin. Jagung rebus, keropok lekor, tauhu sumbat, nugget, sosej dan bebola sesuai untuk disediakan di kantin. 
     Buah-buahan segar seperti betik, jambu batu, nanas, pisang, belimbing besi, tembikai dan ciku sesuai dijual di kantin sekolah.
     Antara minuman yang sesuai dijual di kantin sekolah ialah minuman bercoklat, susu, susu segar, susu berperisa dan yogurt. Di samping itu minuman yang diperbuat daripada buah-buahan tempatan juga sesuai untuk disediakan di kantin. Ini termasuklah air barli, air kacang soya dan air mineral.

     Makanan yang dilarang dijual di kantin sekolah ialah makanan dan minuman yang melanggar Peraturan-peraturan Malaysia 1985 seperti makanan yang melampaui tarikh luput, semua jenis makanan yang berupa permainan atau dijual bersama permainan seperti cincin, gambar dan belon.
     Gula-gula dan coklat juga dilarang dijual di kantin sekolah. Jenis-jenis makanan yang telah dijeruk dan makanan ringan yang mengandungi bahan perisa dan pewarna tiruan juga dilarang dijual di kantin.  Selain itu makanan dan minuman yang mengandungi alkohol dilarang sama sekali. Konfeksi ais dan ais krim juga tidak dibenarkan. Minuman yang menggunakan pewarna dan berperisa kecuali susu berperisa tidak dibenarkan. Kopi dan teh serta minuman bergas dilarang sama sekali.


RUJUK PANDUAN PENGURUSAN KANTIN SEKOLAH.

KANTIN SEMESTRA

   
      Kantin sekolah merupakan suatu tempat yang tidak kurang pentingnya dalam mewujudkan pelbagai pengalaman sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada murid sekolah. Kantin juga merupakan tempat di mana murid dapat membina pengetahuan, sikap dan amalan tentang makanan dan pemakanan, kebersihan dan keselamatan makanan. Murid-murid juga akan mempelajari tabiat-tabiat sosial seperti beratur untuk diberi layanan, bersopan santun dan amalan-amalan disiplin yang lain.
Di samping itu kantin sekolah juga merupakan suatu tempat berlakunya pelbagai jenis interaksi dan aktiviti sama ada dalam kalangan murid sekolah, guru-guru dan pekerja sekolah seperti penjualan dan pembelian makanan dan minuman, penyediaan penyimpanan penghidangan dan penggunaan makanan dan minuman yang dijual ataupun diberi secara percuma di bawah rancangan-rancangan tertentu, kegiatan rehat dan istirahat, permainan ringan seperti ping pong dan catur dan majlis-majlis perbincangan anjuran pihak ibu bapa ataupun masyarakat.

        Kantin sekolah juga boleh dijadikan sebagai satu sumber bagi mengggalakkan pendidikan pemakanan dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat sekolah menengah. Banyak aktiviti boleh dijalankan bagi menggalakkan suatu usaha pendidikan termasuklah pengajaran yang terancang di bawah subjek Pendidikan Kesihatan dan Sivik dan Kewarganegaraan.

Di samping itu kantin juga boleh digunakan untuk pelajaran yang tidak formal berkaitan dengan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Sebarang tunjuk ajar, kerja-kerja amali tentang makanan dan pemakanan, kebersihan dan keselamatan makanan juga boleh diadakan di kantin sekolah. Selain itu kantin boleh dimanfaatkan sebagai tempat mengadakan ceramah, majlis dialog dan sebagainya. Peti cadangan dan  peti bantahan juga boleh diletakkan di kantin sebagai tempat untuk mendapatkan respon murid terhadap sesuatu isu.

           Oleh yang demikian, Pertandingan Kantin Bersih sempena Karnival 3K Negeri Selangor anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor ini dapat dilihat sebagai satu pertandingan yang positif dalam memberi impak kepada semua warga sekolah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memberi kesedaran kepada semua betapa pentingnya mempunyai kantin yang bersih, dapat  menikmati juadah yang seimbang dari segi piramid makanan, berada pada tempat yang ceria dan kondusif dan penyediaan makanan yang bersih dan selamat di kantin sekolah.
       
       Ini sesuai dengan Akta Makanan 1983 (Food Act 1983) dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (Food Regulation 1985) yang selaras dengan pendidikan pemakanan iatu supaya murid sekolah menjadi seorang pengguna dan pemilih makanan yang bijak.


RASIONAL
           
        Kantin sekolah sering dikaitkan dengan isu keracunan makanan. Apabila perkara ini terjadi di kantin sekolah maka hilanglah kepercayaan warga sekolah untuk menjadikan kantin sebagai sebuah premis yang dapat menyediakan kepada mereka  makanan yang bersih dan berkhasiat. Makanan yang berkhasiat penting kepada murid sekolah dalam tumbesaran dan perkembangan dari aspek jasmani, rohani dan sosial semasa mereka berada di sekolah. Adalah menjadi tanggungjawab pihak sekolah dan pengusaha kantin bagi memastikan hanya makanan yang bersih dan selamat, berkhasiat, segar dan mengenyangkan sahaja dijual di kantin.
            Sehubungan dengan perkara tersebut kantin perlu mempunyai gambaran yang positif dalam minda setiap warga sekolah. Kantin yang bersih dan kondusif menjadikannya suatu tempat yang akan dimanfaatkan sepenuhnya penggunaannya. Kantin yang menyediakan makanan yang bersih dan selamat menjadi satu tarikan kepada pengguna untuk terus mengunjungi kantin dalam apa keadaan sekalipun. Oleh yang demikian tanggapan yang negatif  tentang kebersihan kantin kepada murid perlu dikikis dari minda warga sekolah agar kantin dapat dijadikan sebagai premis yang terjaga tahap kebersihannya di samping makanan yang berkhasiat dan selamat untuk dimakan.

OBJEKTIF
·         * Memupuk nila mesra kantin kepada semua warga sekolah.
·    *  Mewujudkan suasana kantin yang bersih dan kondusif bagi melahirkan warga sekolah yang mempraktikkan amalan hidup lestari.
·  *  Mempertingkatkan kualiti persekitaran kantin yang lebih selamat, bersih dan selesa bagi merangsang proses tumbesaran agar dapat melahirkan murid yang sihat dan cemerlang.
·   *  Menjadikan kantin sekolah sebagai suatu tempat yang akan dimanfaatkan penggunaannya untuk pelbagai aktiviti di sekolah.
·       *  Meningkatkan tahap kesedaran dan perubahan sikap warga sekolah tentang kepentingan
      menjaga kebersihan dan keselamatan di kantin sekolah.
·    *   Menggalakkan kerjasama antara warga sekolah dengan masyarakat setempat dalam aktiviti menjaga kebersihan dan keselamatan kantin sekolah.


MATLAMAT

            Melalui pertandingan kantin bersih ini diharapkan agar SMK Pantai Sepang Putra menjadi sebuah institusi pendidikan yang mempunyai sebuah kantin yang bersih, kondusif dan berinformasi.  Perlakuan tentang amalan kebersihan sebagai satu budaya hidup yang berterusan dapat diiamalkan dalam kehidupan seharian warga sekolah. Keprihatinan warga sekolah terhadap aspek kebersihan dan keselamatan terhadap kantin sekolah akan terus kekal. Warga sekolah juga akan selalu memupuk semangat kepunyaan dan sedia untuk bertoleransi dengan pihak kantin bagi mencapai matlamat amalan mesra kantin. Murid-murid juga akan sentiasa mematuhi peraturan sekolah dan peraturan kantin.