Kantin sekolah merupakan
suatu tempat yang tidak kurang pentingnya dalam mewujudkan pelbagai pengalaman
sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada murid sekolah. Kantin juga
merupakan tempat di mana murid dapat membina pengetahuan, sikap dan amalan
tentang makanan dan pemakanan, kebersihan dan keselamatan makanan. Murid-murid
juga akan mempelajari tabiat-tabiat sosial seperti beratur untuk diberi
layanan, bersopan santun dan amalan-amalan disiplin yang lain.
Di
samping itu kantin sekolah juga merupakan suatu tempat berlakunya pelbagai
jenis interaksi dan aktiviti sama ada dalam kalangan murid sekolah, guru-guru
dan pekerja sekolah seperti penjualan dan pembelian makanan dan minuman, penyediaan penyimpanan penghidangan dan penggunaan makanan dan minuman yang dijual ataupun diberi secara percuma di bawah rancangan-rancangan tertentu, kegiatan rehat dan istirahat, permainan ringan seperti ping pong dan catur dan majlis-majlis perbincangan anjuran pihak ibu bapa ataupun masyarakat.
Kantin sekolah juga boleh dijadikan sebagai satu sumber
bagi mengggalakkan pendidikan pemakanan dari peringkat sekolah rendah
sehinggalah ke peringkat sekolah menengah. Banyak aktiviti boleh dijalankan
bagi menggalakkan suatu usaha pendidikan termasuklah pengajaran yang terancang
di bawah subjek Pendidikan Kesihatan dan Sivik dan Kewarganegaraan.
Di
samping itu kantin juga boleh digunakan untuk pelajaran yang tidak formal
berkaitan dengan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Sebarang tunjuk ajar,
kerja-kerja amali tentang makanan dan pemakanan, kebersihan dan keselamatan
makanan juga boleh diadakan di kantin sekolah. Selain itu kantin boleh
dimanfaatkan sebagai tempat mengadakan ceramah, majlis dialog dan sebagainya.
Peti cadangan dan peti bantahan juga
boleh diletakkan di kantin sebagai tempat untuk mendapatkan respon murid
terhadap sesuatu isu.
Oleh yang demikian, Pertandingan Kantin Bersih sempena
Karnival 3K Negeri Selangor anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor ini
dapat dilihat sebagai satu pertandingan yang positif dalam memberi impak kepada
semua warga sekolah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam
memberi kesedaran kepada semua betapa pentingnya mempunyai kantin yang bersih,
dapat menikmati juadah yang seimbang
dari segi piramid makanan, berada pada tempat yang ceria dan kondusif dan
penyediaan makanan yang bersih dan selamat di kantin sekolah.
Ini
sesuai dengan Akta Makanan 1983 (Food Act 1983) dan Peraturan-Peraturan Makanan
1985 (Food Regulation 1985) yang selaras dengan pendidikan pemakanan iatu
supaya murid sekolah menjadi seorang pengguna dan pemilih makanan yang bijak.
RASIONAL
Kantin sekolah sering dikaitkan dengan isu keracunan
makanan. Apabila perkara ini terjadi di kantin sekolah maka hilanglah
kepercayaan warga sekolah untuk menjadikan kantin sebagai sebuah premis yang
dapat menyediakan kepada mereka makanan
yang bersih dan berkhasiat. Makanan yang berkhasiat penting kepada murid
sekolah dalam tumbesaran dan perkembangan dari aspek jasmani, rohani dan sosial
semasa mereka berada di sekolah. Adalah menjadi tanggungjawab pihak sekolah dan
pengusaha kantin bagi memastikan hanya makanan yang bersih dan selamat,
berkhasiat, segar dan mengenyangkan sahaja dijual di kantin.
Sehubungan dengan perkara tersebut kantin perlu mempunyai
gambaran yang positif dalam minda setiap warga sekolah. Kantin yang bersih dan
kondusif menjadikannya suatu tempat yang akan dimanfaatkan sepenuhnya
penggunaannya. Kantin yang menyediakan makanan yang bersih dan selamat menjadi
satu tarikan kepada pengguna untuk terus mengunjungi kantin dalam apa keadaan
sekalipun. Oleh yang demikian tanggapan yang negatif tentang kebersihan kantin kepada murid perlu
dikikis dari minda warga sekolah agar kantin dapat dijadikan sebagai premis
yang terjaga tahap kebersihannya di samping makanan yang berkhasiat dan selamat
untuk dimakan.
OBJEKTIF
· * Memupuk nila mesra kantin kepada semua warga
sekolah.
· * Mewujudkan suasana kantin yang bersih dan kondusif
bagi melahirkan warga sekolah yang mempraktikkan amalan hidup lestari.
· * Mempertingkatkan kualiti persekitaran kantin
yang lebih selamat, bersih dan selesa bagi merangsang proses tumbesaran agar
dapat melahirkan murid yang sihat dan cemerlang.
· * Menjadikan kantin sekolah sebagai suatu
tempat yang akan dimanfaatkan penggunaannya untuk pelbagai aktiviti di sekolah.
· * Meningkatkan tahap kesedaran dan perubahan
sikap warga sekolah tentang kepentingan
menjaga kebersihan dan keselamatan di
kantin sekolah.
· * Menggalakkan kerjasama antara warga sekolah
dengan masyarakat setempat dalam aktiviti menjaga kebersihan dan keselamatan
kantin sekolah.
MATLAMAT
Melalui pertandingan kantin bersih ini diharapkan agar
SMK Pantai Sepang Putra menjadi sebuah institusi pendidikan yang mempunyai
sebuah kantin yang bersih, kondusif dan berinformasi. Perlakuan tentang amalan kebersihan sebagai
satu budaya hidup yang berterusan dapat diiamalkan dalam kehidupan seharian
warga sekolah. Keprihatinan warga sekolah terhadap aspek kebersihan dan
keselamatan terhadap kantin sekolah akan terus kekal. Warga sekolah juga akan
selalu memupuk semangat kepunyaan dan sedia untuk bertoleransi dengan pihak
kantin bagi mencapai matlamat amalan mesra kantin. Murid-murid juga akan
sentiasa mematuhi peraturan sekolah dan peraturan kantin.
No comments:
Post a Comment